Friday, July 18, 2008

Eco Friendly Food Packaging

Kafeteria UIAM diarah guna bekas Eco-Pack
Oleh Basir Zahrom

DALAM usaha melahirkan generasi bebas toksin dan meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menguatkuasakan penggunaan bekas makanan 'Eco-Pack' dan 'Sistem Lupus Sendiri' di semua kafeteria dan medan selera di kampus terbabit mulai Ogos depan.

Timbalan Rektor UIAM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Hamidon Abdul Hamid, berkata pada peringkat awal ia akan diperkenalkan kepada beberapa kafeteria dan medan selera, sebelum dilaksanakan menyeluruh.

"Semua pengusaha kantin diminta tidak menggunakan bekas polisterina dalam kegiatan penjualan makanan dan sebagai alternatifnya, pelanggan diminta makan di kafeteria menggunakan bekas 'Eco-Pack' dengan harga tambahan sebanyak 20 sen atau membawa bekas makanan sendiri.

"Saya yakin tambahan 20 sen tidak menjadi beban dan jika warga kampus membawa bekas makanan sendiri adalah lebih baik dan menjimatkan," katanya selepas melancarkan program penggunaan Eko-Pack dan Sistem Lupus Sendiri di UIAM, baru-baru ini.

Mengulas mengenai Sistem Lupus Sendiri pula, Hamidon berkata, ia diperkenalkan bagi melatih warga kampus lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan kafeteria dan medan selera.

UIAM adalah universiti ketiga selepas Universiti Sains Malaysia dan Universiti Utara Malaysia mengambil langkah memperkenalkan bekas makanan mesra alam itu di kampus masing-masing.

Sementara itu, ketua Jabatan Kemudahan, Pemakanan dan Perkhidmatan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Noriah Ismail, berkata bekas Eco-pack yang diperbuat daripada fiber tandan kelapa sawit itu lebih selamat kerana polisterina putih yang digunakan selama ini mengandungi banyak bahan kimia berbahaya yang boleh menyebabkan kanser.

“Bekas polisterina ini juga memberi kesan kepada alam sekitar kerana memerlukan sekurang-kurangnya 500 tahun untuk reput, manakala jumlah tenaga yang tinggi untuk memusnahkannya.

"Sebaliknya, Eco-Pack boleh dikitar semula dan selepas tiga bulan jika tertanam, ia akan bertukar menjadi baja," katanya.



No comments: