Monday, November 3, 2008

Boikot Pilihanraya Kampus akan Datang

Ahmad Albab At-Tabani Tue Nov 04, 08 10:49:04 am MYT

Bacalah di mana-mana media massa, tontonlah di mana-mana media elektronik dan layarilah di mana-mana laman web, anda tidak akan bertemu statistik yang mencatatkan berapakah jumlah dan peratus pengundi yang keluar semasa pilihan raya kampus (PRK) baru-baru ini.

Bermula dengan diatur konspirasi sulit, tarikh PRK dirahsiakan, buat PRK senyap-senyap, PRK diadakan tidak serentak, dan terkini statistik jumlah pengundi PRK pula cuba ditutup rapat.
Apa yang ditanam itulah yang dituai!

Buat pertama kali dalam sejarah PRK, penurunan mendadak pengundi PRK begitu mengejutkan. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Idris Haron (Menterinya, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin sibuk berkempen Naib Presiden Umno) terkedu dan terkejut besar apabila menyaksikan majoriti mahasiswa bertindak tidak keluar mengundi. Cepat-cepat arahan dikeluarkan supaya keputusan PRK tidak didedahkan media.
Saya menyerahkan kepada pembaca untuk menilai apakah sebab-sebab berlaku ?boikot? mendadak ini. Mungkin Harakah boleh buat undian terbuka dengan menyenaraikan sebab-sebab kemerosotan keluar mengundi PRK seperti berikut:

1. KPT merahsiakan tarikh PRK
2. Mahasiswa muak dan jelak dengan campurtangan berlebihan KPT
3. Calon-calon yang bertanding tidak ada kelayakan (Aspirasi)
4. SPR (baca HEP) bersekongkol dengan Aspirasi semasa PRK
5. Protes senyap daripada mahasiswa kepada KPT dan HEP

Bayangkan, di Universiti Malaysia Trengganu dan Universiti Teknikal Melaka jumlah yang keluar mengundi kurang daripada lima puluh peratus. Begitu juga dengan IPTA lain jumlahnya jauh berkurangan berbanding PRK tahun-tahun yang lalu. Sejarah PRK mencatatkan, inilah pencapaian terburuk semenjak KPT ditubuhkan.

Mahasiswa lawan KPT

Mahasiswa sebenarnya merasa hairan dengan kebimbangan dan ketakutan berlebihan dan tidak berasas KPT semasa mengendali PRK baru-baru ini.
Konspirasi sulit, tindakan kelam kabut dan tidak seimbangnya mentaliti pentadbiran KPT, TTNC dan Mat Hussin (think tank) menggambarkan betapa lemahnya KPT.
Situasi ini secara tidak langsung akan dapat mendedahkan satu rahsia besar kepada warga kampus bagaimana untuk menumbangkan KPT yang seringkali menzalimi mahasiswa.
Diulangi, untuk tumbangkan KPT dan bukan lagi Aspirasi.

Sudah sampai masanya mahasiswa menghalakan 'peluru' mereka kepada KPT. Lawan mahasiswa kini bukan lagi badut-badut seperti Aspirasi. Dengan tumbangnya KPT barulah perubahan besar bakal menyusul di IPTA.

Sebenarnya Aspirasi cuma fatamorgana yang tidak penting langsung dalam catatan perjuangan membawa perubahan di IPTA. Aspirasi adalah maskot KPT semata. Usah dilayan! Jika Aspirasi gilakan sangat jawatan MPP, campakkan saja kepada mereka.

Penilaian semula

Renung-renungkanlah, memang diakui warga kampus yang promahasiswa pernah menang di beberapa IPTA di Lembah Klang seperti UM, UKM, dan UIAM. Tumpuan selama ini lebih ditumpukan kepada bagaimana hendak mengalahkan calon Aspirasi.

Soalnya, apakah setelah kemenangan itu, berlaku satu 'perubahan besar' yang diidam-idamkan? Atau mahasiswa masih bermain dengan lagu-lagu lama iaitu dipermainkan dan terus diperkotak-katikkan oleh KPT?

Jika kuasa MPP yang hendak dijadikan rebutan dan ukuran, ternyata Kelab dan Persatuan di IPTA tidak kurang kuasa dan pengaruh dalam menghasilkan program yang 'hi impact' kepada warga kampus. Malah ahli jawatan kuasa kelab dan persatuan lebih merasa santai dan bebas berbanding MPP yang bakal dijerut dan kongkong KPT.

Perjuangan ke arah 'perubahan jangka panjang' wajar diberi keutamaan oleh mahasiswa dan perubahan yang paling utama yang mesti diutamakan ialah perubahan minda seluruh mahasiswa.

Perubahan seperti ini memerlukan usaha kuat yang bakal menghasilkan peristiwa besar di alam kampus.
Pun begitu, ianya tidaklah sebesar pengorbanan mahasiswa di Universitas Indonesia yang mengorbankan beberapa jiwa di Dataran Reformasi lewat tumbangnya Suharto.
Oleh kerana itu satu penilaian semula wajar dihasilkan supaya perjuangan mahasiswa lebih terarah dan aulawiyyat atau keutamaan kerja dapat ditentukan.

Bom jangka minda

Hari ini mahasiswa perlu memikirkan satu perubahan besar terutama perubahan pemikiran dan keberanian bertindak 'di luar kotak' perlu dihasilkan. Mengapa masih belum ada yang berani mencuba satu gerakan yang tersusun ke arah proses perubahan minda mahasiswa di negara kita ini?
Jika ada yang bertanya "Apakah bom yang bakal merubah minda mahasiswa dan bakal meletupkan KPT?"

Bagi saya jawapannya tidak lain dan tidak bukan: "BOIKOT PRK SELURUH IPTA Januari 2009 nanti"!
Cadangan ini bukan diutarakan secara melulu dan emosi semata. Saya akan kemukakan sebab-sebab yang berasas.

Apalah yang hendak digusarkan. PRK diadakan setahun sekali. Bukan lima tahun sekali. Ruang percubaan terbuka luas!
Perubahan serentak dan menyeluruh mudah menampakkan hasilnya. Tidak perlu lagi memilih-milih IPTA tertentu untuk bertempur dengan Aspirasi. Bagi saya strategi begitu akan memberi pengiktirafan kepada KPT bahawa masih wujud 'demokrasi' di kampus secara berterusan. Hakikatnya, demokrasi sudah hancur di IPTA!

Haruan makan anak

Percayalah, Boikot serentak inilah yang paling menakutkan Idris dan Khaled! Senario PRK baru-baru ini pun sudah cukup membuatkan mereka gelabah. Malah ianya satu percubaan yang hampir berjaya. Hanya media yang berjaya menutupnya.

Bayangkan dalam situasi mahasiswa bersangka baik kepada KPT untuk mengendalikan PRK secara adil, KPT dan HEP pula menjelmakan diri mereka seumpama haruan yang mengintai-ngintai anaknya yang sedang enak dibuai mimpi. Untuk apa diintai-intai dan diterkam anak sendiri yang sudah barang tentu tidak mampu melawan?

Akhirnya mahasiswa semakin jelak dan mual dengan campurtangan berlebihan KPT lalu bertindak sendirian. Bayangkan tanpa satu gerakan terancang mahasiswa telah berjaya menunjukkan protes senyap mereka kepada KPT. Pun siapa sangka warga kampus yang Pro-Mahasiswa mampu meraih kemenangan di UPSI?

Arus perubahan serentak PRK dan PRU

Saya menyorot PRK kali ini saling tak tumpah seperti Pilihan Raya Umum yang lalu. Siapa sangka lima negeri tumbang dan menjadi milik Pakatan Rakyat? Semua parti pembangkang mengakui memang tidak ada usaha terancang, harapan untuk kekal memerintah hanya di Kelantan. Semua maklum, apa yang berlaku di luar dugaan semua pihak.
Bezanya PRK, mahasiswa tanpa kuasa di tangan, bertindak 'menyerang' KPT dengan tidak keluar mengundi. Serangan sebegitu pun sudah memadai. Begitulah tindak balas yang sewajarnya dari mahasiswa apabila tekanan melampau daripada KPT dan HEP. Ianya sudah cukup mengaibkan mereka!

Pilihan untuk berubah

Warga kampus amat beryakinan, PRK yang bakal diadakan di IPTA Lembah Klang pada Januari 2009 akan menyaksikan satu perubahan besar ke atas kebangkitan mahasiswa mutakhir ini. Mahasiswa mula buka mata dan suara hati mereka mula berkata
"Kalaulah IPTA yang setahun jagung pun mula berani menunjukkan protes secara senyap kepada KPT, apakah kita abang-abang dan kakak-kakak yang jauh berpengalaman tidak berani membuat sesuatu di luar dugaan semasa PRK nanti?"
Pada pengamatan saya, mahasiswa di IPTA Lembah Klang hanya punya dua pilihan dalam menghadapi PRK Januari 2009!

Pertama Boikot besar-besaran!
Kedua Boikot besar-besaran!


Bukan tersilap tulis, memang anjurannya ialah BOIKOT BESAR-BESARAN SELURUH IPTA!

Wahai anak-anak muda, memilih salah satu dari dua pilihan di atas adalah KEMENANGAN untuk anda semua! Kerana kedua-dua pilihan itu bakal menyedarkan:

1. Menyedarkan Kementerian Pengajian Tinggi: MAHASISWA sebenarnya punya kuasa dan pengaruh besar di IPTA!

2. Menyedarkan MAHASISWA: Sebenarnya MAHASISWA punya kuasa dan pengaruh yang besar di IPTA bukan KPT dan HEP! Andaian mudahnya, "Kalau semua mahasiswa tidak masuk kelas, pensyarah nak ajar siapa?" - lanh _

Source taken from: http://http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=017713&Itemid=111